TAMAN Banjaran Crocker (CRP) di Sabah dikenal pasti memiliki banyak khazanah alam termasuk flora dan fauna yang berharga. Khazanah seperti spesies tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan dan sukar ditemui di tempat lain perlu dipelihara.Yang jelas, suasana damai dan udara nyaman turut memikat pelancong untuk menikmati keindahan alam semula jadi. Malah tempat itu juga sesuai untuk mereka yang meminati kegiatan lasak yang menguji ketahanan mental dan fizikal.
Bagi memastikan taman itu terpelihara, serombongan wartawan Malaysia yang diketuai Kaunselor Ekonomi Kedutaan Jepun, Shinichi Hosono dan wakil Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Kenichiro Kenichiro, dan Iwao Tatsumi dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dibawa melawat ke Banjaran Crocker yang berpangkalan di Inobon, kira-kira 25 kilometer dari Kota Kinabalu, baru-baru ini. Taman sepanjang 110 kilometer dan lebar 15 kilometer memang belum tercemar. Ia menjadi salah satu hutan simpan di bawah Jabatan Perhutanan Sabah pada 1969 sebelum diwartakan pada 1984. Hanya bermula 2002 barulah taman itu diletakkan di bawah program Pemeliharaan Ekosistem dan Biodiversiti Borneo (BBEC).
Rombongan lima kenderaan pacuan empat roda yang bertolak dari pusat bandar terpaksa menyusuri jalan berbukit yang berliku dan becak lebih- lebih lagi ketika hampir tiba di puncak yang menempatkan stesen penyelidikan di Inobon.
Setibanya di puncak itu, sekumpulan 14 remaja United Kingdom dilihat sedang berehat melepas penat setelah mengembara sambil belajar di kawasan hutan di situ. Wartawan sempat berbual-bual mengenai pengalaman mereka mengembara di situ selama dua minggu.
Projek pemuliharaan taman negara di Sabah yang mendapat restu Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman memang boleh dijadikan satu destinasi untuk memikat pelancong yang gemarkan kegiatan mencabar.
Pengurus CRP, Ludi Apin, 38 ketika memberi taklimat mengenai peranan kerajaan negeri, JICA dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengenai projek pemuliharaan taman itu, mengaku taman itu mempunyai khazanah semula jadi yang cukup berharga.
Beliau juga mengajak wartawan mendaki sambil menyusuri hutan yang dilalui masyarakat pribumi di situ. Bagaimanapun, setelah kira-kira 30 minit menempuh hutan, rombongan wartawan meminta izin berpatah balik kerana keletihan dengan alasan belum membuat persediaan.
Sebelum itu, kami dibawa melawat program BBEC di kampus UMS untuk mendengar taklimat daripada Ketua Penasihat di bawah program sukarelawan Perbadanan Luar Negara Jepun (JOVC), Takahisa Husano.
Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS, Prof Datin Dr Maryati Mohamed yang turut memberi taklimat berkata, UMS turut bertanggungjawab membantu kerajaan negeri dan sukarelawan Jepun memulihara hutan di Sabah."Matlamat utama program BBEC ialah ke arah pemuliharaan biodiversiti dan ekosistem di Sabah menerusi pengurusan yang mapan," katanya. Selain itu, kata beliau antara tujuan program BBEC ialah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai pemuliharaan biodiversiti supaya Sabah boleh mengurus sumber alam semula jadi dan alam sekitar dengan lebih baik untuk generasi kini dan akan datang.
Apa yang penting, menerusi sukarelawan Jepun, penyelidik tempatan dan pelajar UMS sendiri sama-sama menyimpan pelbagai spesies seperti rama-rama, ular, katak dan pelbagai jenis ikan.
Taman Banjaran Crocker merangkumi lapan daerah termasuk yang terbesar Daerah Keningau. Bahagian utara taman ini meliputi kawasan Penampang, Tuaran, Ranau, Tambunan, manakala di timur laut meliputi Keningau dan Tenom dan bahagian barat termasuk Papar dan Beaufort. Sekitar taman itu didiami tidak kurang 113 jenis binatang mamalia, 270 burung, 56 reptilia, 64 amphibia dan 31 jenis ikan darat. Kawasan taman negara di Sabah juga mempunyai banyak spesies tumbuhan berharga yang perlu dipelihara supaya tidak dieksploitasi oleh pihak luar yang mungkin mencurinya lalu membuat pengkulturan tisu untuk tujuan komersial.Kini, taman berkenaan diurus dengan kerjasama JICA dan UMS yang terbabit dengan aktiviti penyelidikan melalui program BBEC.
Jabatan Taman-Taman Sabah mendapati sesetengah daripada taman di negeri itu diceroboh oleh golongan tertentu untuk mencari kayu gaharu yang mempunyai nilai komersial yang tinggi terutama di Asia Barat. Justeru, kegiatan mengambil spesies tumbuhan atau khazanah lain yang berharga di taman berkenaan perlu dipantau bagi memastikan ia tidak pupus dan dalam masa sama kawasan itu tidak mengalami kerosakan. Sebab itu, kita perlu membuat pembahagian kepada beberapa bahagian tertentu di kawasan taman ini untuk memudahkan Taman Sabah dan semua pihak terbabit mengawal serta menyelia kawasan taman yang luas ini.
Pembahagian kawasan itu dapat memudahkan pengurusan dan mengawal aktiviti yang dijalankan di taman berkenaan yang turut mengalami kemusnahan akibat kegiatan pembalakan haram dan kebakaran hutan pada musim kemarau. Pembahagian itu berdasarkan pengetahuan semasa dan keadaan masyarakat yang tinggal di sekitar taman berkenaan serta mengambil kira situasi alam semula jadinya.